9 Oct 2014

Salam Eidul Adha Untuk Yang Jauh Dan Dekat


Salam Eidul Adha


Assalamualaikum wbt dan salam Eidul Adha kepada semua khususnya para pembaca muslimin dan muslimat yang dihormati. Bahang suasana hari raya qurban masih terasa sehingga kini.


Rasanya agak lama blog ini 'tidur' disebabkan kesibukan membuat persiapan anak saya yang akan menghadapi peperiksaan UPSR sabjek English, Sains dan Matematik (ya betul..kena menduduki semula). Kali ini  ada masa yang terluang untuk berkongsi pengalaman kerana pada 9 Oktober 2014, iaitu hari ini adalah hari terakhir anak saya menduduki peperiksaan UPSR untuk kertas Matematik dan ini juga bermaksud anak saya kini merdeka  dari tekanan menghadapi peperiksaan (setakat ini). In shaa Allah.  



Lawatan bersama keluarga ke Taman Tumbina, Bintulu pada hari Ahad lepas, 5hb Oktober 2014.

Taman Tumbina Bintulu, Bintulu, Sarawak

Entri pada kali ini ialah mengenai pengalaman sewaktu melawat Taman Tumbina Bintulu, Sarawak tempoh hari, iaitu pada Ahad lepas, 5hb Oktober 2014. Ini merupakan kali pertama saya dan keluarga melawat taman ini sejak menjejakkan kaki di Bintulu pada tahun 2012. Perkongsian pengalaman ini mungkin berguna untuk pembaca yang belum pernah sampai ke taman ini ataupun yang sedang bercadang untuk melawat taman ini.


Baiklah. Taman ini bersetentang dengan Pantai Temasya,Tanjung Batu, Bintulu. Sesiapa yang bercadang untuk berjogging atau berkelah bersama keluarga di Pantai Temasya, kawasan ini amatlah bersesuaian kerana selepas penat berkelah anda boleh pula singgah melawat taman ini. Anda hanya perlu menyeberangi jalan raya dengan berjalan kaki sahaja.


Tiket masuk ke taman ini ialah RM2 untuk dewasa dan RM0.50 untuk kanak-kanak (12 tahun ke bawah). Waktu melawat ialah pada pukul 8 pagi hingga 5 petang dan dibuka setiap hari. Oh ya. Sebelum terlupa, TUMBINA  dinamakan sempena mengambil nama singkatan ataupun merupakan kombinasi perkataan TUMBUHAN dan BINATANG.

 
Brosur Taman Tumbina, Bintulu
Peta Lokasi Taman Tumbina, Bintulu


Sejarah ringkas  Taman Tumbina


Taman Tumbina telah dibuka secara rasmi pada 2 Ogos 1991 yang mana mempamerkan pelbagai kekayaan koleksi flora dan fauna, khususnya yang terdapat di Bumi Kenyalang.


Taman Tumbina menpunyai keluasan sekitar 57 hektar serta bentuk geografi yang berbukit-bukau. Ia berhampiran dengan Laut China Selatan, diapit oleh Bandar Bintulu  serta tidak jauh dari kawasan perindustrian Tanjung Kidurong. Ini menyumbang kepada kewujudannya sebagai satu kawasan yang sangat strategik samada sebagai kawasan peranginan dan/atau perkelahan mahupun sebagai kawasan riadah yang sihat.


Antara Yang Menarik

Keluarga rama-rama yang dikenali sebagai Alam Kelebar. Kawasan khas ada disediakan khusus untuk keluarga rama-rama ini.  Terdapat rama-rama yang telah diawetkan dan juga yang masih hidup di kawasan tersebut.


Koleksi Orkid.  Terdapat juga koleksi Orkid  yang  mungkin antara yang terbesar bagi kawasan di utara Sarawak.

Seterusnya ada satu kawasan yang dinamakan Kompleks Reptilia. Di sini  anda berpeluang menyaksikan pelbagai jenis haiwan reptilia hidup seperti ular sawa, kura-kura dan buaya (bujang senang – panggilan bagi orang Sarawak kepada buaya).

Buaya yang sedang bersantai di tepi kolam.

Buaya/Bujang Senang






Ular-ular sawa ini ditempatkan di dalam bilik yang berdindingkan kaca tebal.


Selain daripada itu, terdapat juga Koleksi Burung Enggang atau Burung Kenyalang dengan pelbagai saiz, paruh, warna bulu, rupa bentuk kepala dan sebagainya. Malahan kami juga sempat berhibur dengan kemerduan suara burung Tiong Emas dan Tekukur yang pandai meniru kata-kata yang kami ucapkan, contohnya, “Hello”, “Hai”, “Pewwwwiiittt”, “ Assalamualaikum” dan lain-lain lagi.  Saya pasti anda juga akan terhibur melihat gelagat burung-burung tersebut. Tidak ketinggalan juga kami menyaksikan burung kakak tua dan burung merak yang masing-masing mempunyai tarikan tersendiri. 



Burung Tiong Emas (yang tertera pada tanda nama)


Terdapat 3 ekor Burung Tiong Emas di dalam sangkar ini. Burung inilah yang pandai meniru kata-kata dan bunyi-bunyian yang dibuat oleh para pengunjung.


Antara Burung Merak yang ada di situ.


Warna bulu Burung Merak yang berwarna-warni menjadikan ia antara burung yang tercantik.


Antara koleksi Burung Enggang/Kenyalang yang mempunyai bulu yang berwarna-warni.

Cuba berinteraksi dengan Burung Ayam Mutiara.




Koleksi Burung Ayam Mutiara.



Warna bulu Burung Ayam Mutiara yang berbatik-batik membuatkan ia kelihatan cantik.



Seterusnya kami meneruskan perjalanan kami  mendaki bukit berpandukan peta lokasi untuk melihat keluarga rusa, kucing hutan, harimau, beruang dan macam-macam lagi.  Dalam perjalanan kami menuju ke arah bukit tersebut, dari jauh lagi kami melihat bumbung bangunan yang menunjukkan arca seekor Singa sedang berdiri.

 


Keluarga Rusa
Tidak jauh dari kawasan tersebut kelihatan satu kawasan berpagar yang terbentang luas menempatkan sekumpulan rusa yang pelbagai saiz. Ada yang bertanduk dan ada yang tidak. Kami sempat mengabadikan kenangan bersama rusa-rusa tersebut dengan mengambil gambar ketika memberikan makanan. Pada mulanya kami tidak tahu bagaimana untuk menarik perhatian rusa-rusa tersebut supaya datang hampir kepada kami. Tetapi setelah melihat salah seorang pengunjung  yang agak berusia berpangkat pak cik memetik beberapa batang pokok berupa keluarga pakis yang mempunyai daun yang rimbun dan memberikannya kepada rusa-rusa tersebut, maka kami turut memetik daun yang sama dan memberikannya kepada rusa-rusa itu. Kelihatan seolah-olah rusa-rusa tersebut sangat lapar dan mungkin juga benar-benar lapar memandangkan kawasan kandang tersebut semuanya kelihatan telah botak atau gondol. Pucuk paku yang kami berikan dimamah dengan begitu pantas oleh rusa-rusa yang datang berkumpul dan kelihatan saling berebut pucuk tersebut.
 
Rusa berlumba-lumba memakan daun paku-pakis yang dihulurkan
 
 




Aktiviti Jungle Trekking

Bagi pengunjung yang sukakan aktiviti yang mencabar keupayaan fizikal dan/atau sukakan aktiviti lasak agar dapat mengeluarkan peluh, Taman Tumbina adalah tempat yang sesuai kerana bentuk muka bumi yang berbukit-bukau dan tanah tinggi. Walaupun lawatan kami singkat iaitu hanya lebih kurang satu jam sahaja disebabkan oleh cuaca yang menunjukkan hujan akan turun bila-bila masa, namun sudah cukup membuatkan kami semua berpeluh seluruh badan sehingga membasahi belakang baju kami.


Damainya di jiwa

Alangkah damainya suasana persekitaran di sini yang serba malar menghijau diindahkan lagi dengan udara segar yang kaya dengan oksigen tanpa pencemaran, disulami bunyi kicauan burung-burung yang bebas berterbangan di taman ini diselang-selikan dengan kemerduan bunyi Burung Enggang, burung Tiong Emas atau Tekukur dan kadangkala bunyi Ayam Mutiara dan Ayam Alau Babi (Ya betul. Memang ini nama yang tertera pada papan tanda nama di situ). Suasana begini sudah pasti akan mendamaikan dan merawat jiwa sesiapa sahaja yang datang berkunjung di situ, yang sememangnya dahagakan ketenangan dan ingin berada jauh dari kebisingan kotaraya.
Pengalaman singkat berada di Taman Tumbina cukup  menghiburkan serta melegakan pemikiran. Taman ini juga mungkin "mesra alam" buat mereka yang mengalami kekusutan pemikiran, menghadapi tekanan perasaan, rindukan kehijauan hutan serta kesegaran udara. Kami sekeluarga telah sepakat untuk datang lagi pada bila-bila masa di mana ada kesempatan.  Al-maklumlah seorang suri rumah seperti  saya yang perlu memberikan sepenuh perhatian kepada bayi yang masih kecil banyak bergantung kepada kesesuaian masa. Pengurusan masa adalah suatu yang kritikal kerana bukan sahaja bayi kecil yang  memerlukan sepenuh perhatian, malahan anak saya yang dah bersekolah juga memerlukan pemantauan termasuklah mengendalikan seluruh urusan rumah-tangga setiap hari. Oleh itu, saya banyak belajar mengenai teknik pengurusan masa di sini http://www.ashadee.net/go/49794/Rosefahmi. Anda juga boleh melayari laman ini jika berhasrat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai teknik dan rahsia bagaimana kita sebenarnya boleh menjimatkan masa kita sekurang-kurangnya 10 jam seminggu. Tak percaya, cuba dulu dan lihat sendiri.

 Boleh Membawa Makanan dan Minuman Sendiri

Oh ya. Anda boleh membawa makanan dan minuman sendiri ke taman ini sebagaimana para pengunjung yang lain lakukan, termasuklah membawa kamera masing-masing. Malahan ada juga kelihatan pengunjung yang membawa alat muzik seperti gitar dan duduk bersantai beramai-ramai di bangku-bangku yang disediakan di situ sambil mendendangkan lagu jiwang bertajuk “Sandiwara Cinta”. Anda yang belum pernah mendengar lagu ini bolehlah klik di sini http://www.youtube.com/watch?v=0myIhVlt8i4. Dari pengamatan kami, di taman ini terdapat juga kantin yang menjual makanan dan minuman.


Cadangan Penambahbaikan

Banyak lagi taman seumpama ini di Negara kita yang tercinta,  misalnya Zoo Negara di Hulu Klang, Selangor, Taman Negara Kinabalu (Kinabalu Park) di Sabah (Negeri di Bawah Bayu) dan lain-lain. Persamaan yang ketara di setiap taman-taman tersebut ialah adanya kaunter atau galeri kecil yang akan menjual cenderahati atau cenderamata yang mewakili rupa bentuk flora dan fauna yang terdapat di taman ini. Kami tercari-cari kaunter atau galeri yang menjual sebarang cenderahati atau cenderamata untuk dijadikan sebagai buah tangan sebelum kami beredar keluar dari taman itu namun tiada kelihatan galeri yang dicari. Saya percaya jika adanya kaunter atau galeri sedemikian, ia bukan sahaja akan menjadi suatu tarikan kepada para pengunjung, malah akan juga menjadi suatu sumber pendapatan Taman Tumbina.  Ini hanyalah satu cadangan ya.

Jika anda inginkan sebarang maklumat lanjut mengenai Taman TUMBINA, anda boleh menghubungi pihak Taman Tumbina Bintulu di talian 086 337709 atau 086 337710, atau melalui emel www.tumbina.com.my.  

Sekian sahaja untuk kali ini. Silalah berkunjung ke taman ini dan alaminya sendiri. Wasalam.